Thursday, November 4, 2010

Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB)


TERAS PIPLB
TERAS 1

Pembangunan Modal Insan Dan Pengupayaan Masyarakat Yang Efektif


Pembangunan modal insan perlu dilaksanakan untuk memantapkan semula nilai tradisi dan semangat kejiranan serta dalam masa sama mempertingkatkan jati diri dalam pelbagai bentuk latihan kerohanian, kekeluargaan dan kemahiran bagi menjamin kualiti hidup masyarakat luar bandar.

TERAS 2

Pembangunan Ekonomi Yang Berdaya Maju, Berdaya Saing Dan Berdaya Tahan


Bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi di luar bandar, pelbagai strategi dicadangkan, termasuk penghasilan pelbagai produk menerusi penyelidikan dan pembangunan (P&P) yang inovatif mampu meningkatkan pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar.

Kepelbagaian sumber juga dilihat sebagai peluang bagi masyarakat luar bandar menceburi bidang keusahawanan.

TERAS 3

Pengintegrasian Perancangan Fizikal Dengan Program Pembangunan Luar Bandar


Satu anjakan strategik akan dilaksanakan iaitu dengan mengintegrasi perancangan pembangunan fizikal dengan projek luar bandar yang dilaksanakan pelbagai agensi kerajaan khususnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Cadangan pembentukan kluster pembangunan adalah berdasarkan kepada Rangka Spatial Negara 2020 yang dibentuk daripada kajian Rancangan Fizikal Negara (RFN). Tiga kluster kawasan luar bandar dicadangkan iaitu petempatan desa dalam Konurbasi Perbandaran, Kawasan luar bandar di Koridor Wilayah Ekonomi Negara dan Kawasan luar bandar yang terletak di luar Koridor Wilayah Ekonomi Negara dan Konurbasi Perbandaran.

TERAS 4

Pembangunan Infrastruktur Dan Kemudahan Awam Yang Menyeluruh Dan Efisyen


PIPLB mengambil kira pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam yang menyeluruh dan efektif untuk semua lapisan masyarakat di luar bandar. Rangkaian jalan raya luar bandar yang berkualiti akan dilaksanakan dan penggunaan teknologi terkini dapat mengurangkan kos penyelenggaraan. Bekalan air terawat dan elektrik juga dipertingkatkan dan dinaik taraf. Usaha mengadakan kemudahan bergerak, hibrid matahari (solar hibrid) dan bekalan air dari sumber air bawah tanah atau pembinaan tadahan air semula jadi terus digalakkan.

TERAS 5

Peningkatan Kualiti Hidup Dan Pendapatan Golongan Isi Rumah Dalam Kumpulan 40 peratus Terendah


Usaha kerajaan bagi memastikan peningkatan pendapatan golongan isi rumah 40 peratus terendah akan terus di sokong dalam pembangunan PIPLB ini. Bagi mengurangkan sikap kebergantungan masyarakat luar bandar yang berterusan kepada kerajaan, maka antara strategi utamanya adalah dengan memperkasa keupayaan diri dan memantapkan harga diri dari aspek rohani dan jasmani. Pelbagai bentuk latihan kemahiran akan dilaksanakan agar golongan ini dapat hidup berdikari pada masa akan datang.

TERAS 6

Pengurusan Sumber Alam Secara Mapan


Pembangunan luar bandar diperlukan demi kesejahteraan penduduk luar bandar. Bagaimanapun, pembangunan yang diharapkan akan dipastikan tidak mengorbankan sumber alam. Oleh itu, antara strategi yang dicadangkan ialah penubuhan Kumpulan Pemantau Alam Sekitar Luar Bandar (Rural Environmental Watch Group) untuk menjadi memantau, menilai dan melaporkan segala aktiviti yang merosakkan alam sekitar. Pertanian secara bioorganik akan terus diberi galakan supaya kesan negatif bahan kimia (racun dan baja) ke atas kualiti tanah dan air dapat dikurangkan. Pembenihan semula sumber alam pula akan dipertingkatkan supaya sumber yang hilang, khususnya sumber yang boleh diperbaharui (sumber pertanian, sungai dan laut) dapat diganti.

TERAS 7

Pengurusan Pembangunan Secara Bersepadu


Satu sistem pengurusan pembangunan secara bersepadu perlu dibuat agar tiada pertindihan fungsi dan tugas di pelbagai agensi. Oleh itu dicadangkan penubuhan Majlis Pembangunan Luar Bandar bagi menguruskan segala bentuk perancangan dan pembangunan luar bandar. Dengan adanya satu agensi yang khusus ini dilihat akan dapat menyelesaikan permasalahan pertindihan kuasa agensi terbabit.

STRATEGI PIPLB

Pelaksanaan Strategi TERAS 1


- Memperkasakan keupayaan dan harga diri
- Mempertingkatkan masyarakat luar bandar di dalam aspek pendidikan dengan tahap minimum memiliki sijil peringkat menengah atas
- Memperluaskan latihan dan kemahiran berbagai peringkat, bidang dan peluang
- Menyediakan jurulatih yang kompeten dan latihan yang berkualiti

Pelaksanaan Strategi TERAS 2

- Menggalakkan pengurusan dan pengendalian aktiviti ekonomi desa secara kreatif dan inovatif
- Mempertingkatkan rantaian antara industri desa dan bandar
- Mempelbagaikan aktiviti ekonomi, khususnya pelancongan desa dan industri berasaskan sumber
- Memperluas dan mempelbagaikan pasaran dan aktiviti pemasaran
- Membangunkan tanah secara optimum dan bersepadu
- Menggalakkan aktiviti pemprosesan dan rantaian nilai
- Menggalakkan penggunaan pekerja tempatan dan teknologi jimat buruh
- Menggalakkan penggunaan teknologi baru
- Menambahbaik capaian kemudahan kewangan dan kredit
- Meningkatkan kemahiran pengurusan, teknikal dan operasi

Pelaksanaan Strategi TERAS 3

- Memastikan program luar bandar mengikut sistem rancangan pemajuan yang telah disediakan
- Mengklasterkan kawasan luar bandar mengikut klasifikasi perancangan fizikal
- Menggalakkan program pembangunan luar bandar mengikut pengkhususan zon ekonomi
- Membangunkan projek pembangunan di lokasi yang sesuai dan menepati keperluan kumpulan sasaran
- Memulihara karakter luar bandar dari pencerobohan aktiviti pembangunan yang tidak serasi dengan persekitaran

Pelaksanaan Strategi TERAS 4

- Menambah dan membaikpulih infrastruktur, sistem pengangkutan dan kemudahan asas
- Menilai keperluan infrastruktur dan kemudahan awam sebelum sesuatu projek dilaksanakan
- Meningkatkan kerjasama antara agensi pelaksana
- Menambahbaik kaedah perolehan yang tidak telus
- Mempertingkatkan projek perkembangan jalur lebar dan ICT

Pelaksanaan Strategi TERAS 5

- Menyediakan perumahan bagi kumpulan rapuh dan miskin tegar serta skim rumah mampu milik
- Meningkatkan kesedaran kesihatan dan pemakanan seimbang
- Memantapkan jaringan keselamatan sosial

Pelaksanaan Strategi TERAS 6

- Mengawal dan memantau aktiviti penerokaan hutan dan pembangunan tanah
- Mengawal dan memantau aktiviti industri
- Menggalakkan amalan pengurusan ladang secara terbaik dan mesra alam.


Pelaksanaan Strategi TERAS 7

- Mengkaji semula institusi pembangunan luar bandar
- Memperkukuhkan sistem pemantauan dan penilaian
- Memperluaskan serta memperkukuhkan sistem penyampaian
- Mempertingkatkan kerjasama dengan agensi-agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan
- Meningkatkan tahap kapasiti agensi dan pegawai pelaksana

PIPLB adalah pelan induk yang holistik dalam memaju pembangunan luar bandar dengan mengambilkira empat tonggak iaitu 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia ke-10 ke arah mencapai wawasan 2020 sebagai sebuah Negara maju dan berpendapatan tinggi

1 comment: